Novel Jejak MONPUS berkisar tentang Zahar seorang penuntut bidang Biologi di Fakulti Sains Hayat, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Zahar begitu obses dengan dunia serangga sejak kecil lagi. Minatnya terhadap dunia serangga terutamanya ulat bulu dan rama-rama semakin mendalam hingga mendorongnya membina sebuah makmal kecil di sebelah rumahnya. Ibu Zahar, iaitu Qistina merupakan seorang guru yang sentiasa memberikan galakan kepada Zahar untuk mengembangkan lagi minatnya. Zahar seorang pelajar yang sangat berdedikasi dan telah banyak menerima anugerah hasil penyelidikan dan inovasi yang dijalankan bersama-sama dengan pihak universiti.
Di makmalnya terdapat pelbagai spesies ulat bulu, namun terdapat satu spesies yang paling disayanginya. Spesies itu diberi nama Pus Pus. Walau bagaimanapun, keadaan fizikal Pus Pus yang lemah merisaukan Zahar. Dia mengambil keputusan untuk ke Pulau PIsang bersama-sama dengan Fikri dan Malcom untuk mencari speies baharu untuk dikacukkan dengan Pus Pus. Dia bernasib baik kerana telah bertemu dengan beberapa spesies baharu termasuk seekor ulat bulu yang cantik daripada spesies Monarch. Hasil kacukan antara Pus Pus dengan Monarch maka terhasillah ulat bulu yang digelar Zahar sebagai Morgan. Namun begitu, sesuatu yang aneh telah berlaku apabila Morgan mengalami perubahan, iaitu mempunyai sayap pada bahagian abdomen kiri dan kanannya.
Selepas itu, berlaku sesuatu yang menggemparkan penduduk Kampung Maju Jaya apabila beribu-ribu ulat bulu telah menyerang kampung tersebut. Penduduk kampung yang terkena penyakit dan binatang ternakan di kampung tersebut banyak yang mati. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung telah datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu itu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa, selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama. Serangan ulat bulu semakin serius. Zahar diminta ke balai raya. Zahar yang bijak berhujah. Ketua Kampung Maju Jaya, iaitu Pak Naib meminta Zahar menggunakan kepandaiannya untuk membantu penduduk kampung.
Warung kopi Pak Mail kecoh. Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar. Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda. Ripin meluru keluar dari warung. Dia bertekak dengan Zahar. Qistina cuba meleraikan mereka. Kata-kata kesat Ripin terhadap Qistina membuat Zahar berasa amat marah. Pergaduhan antara Zahar dan Ripin berlaku. Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar. Pisau tersebut terkena pada bahu Zahar. Zahar dirawat di Hospital Pontian. Akhirnya, Zahar dibenarkan keluar dari hospital dan diberi cuti sakit selama seminggu.
Zahar telah menjalankan kajian dan eksperimen untuk mencari penawar kepada masalah yang dialami oleh penduduk kampung. Zahar sekali lagi mengajak Fikri menemaninya ke Pulau Pisang untuk mencari penawar. Akhirnya, dia telah menemukan pokok berdaun lebar dan berkerinting yang menjadi makanan ulat bulu yang mempunyai spesies Morgan. Hasil penelitiannya, Zahar berpendapat bahawa dia dan Fikri perlu melenyapkan spesies ulat bulu berintik hitam dan Morgan menjadi punca ulat bulu itu membiak.
Di makmalnya, Zahar yakin bahawa Morgan ialah penawar bagi wabak serangan ulat di kampungnya. Dia menghasilkan larutan yang dicampur dengan cecair yang diambil dari badan Morgan. Larutan itu menunggu masa untuk diolah dan diektrak untuk menjadi agen biologi. Selepas bangun dari tidur, Zahar menyambung kerja-kerja di makmalnya. Dia mencurahkan larutan cecari berwarna biru hijau itu ke dalam botol penyembur. Dengan berat hati, dia menyemburkan cecair tadi ke badan Morgan. Selepas mengeliang-geliut, badan Morgan mengeluarkan kepulan asap putih berbaur warna hijau kekuningan kemudian mengeras. Selepas pulang dari kuliah, Zahar mendapati buku formula, bahan uji kaji, serta botol cecair beracun sudah tiada. Dia mengesyaki ada orang yang mencurinya.
Zahar dan Fikri telah melakukan penyiasatan dan mendapati Ripinlah orang yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut. Akhirnya, Ripin dan rakan-rakannya telah ditangkap. Formula kepunyaan Zahar berjaya ditemukan semula. Setelah dipatenkan, formula Zahar yang diberi nama MONPUS itu telah dikormesialkan. Hal ini dimaklumkan oleh pengurus produk inovasi UTM. MONPUS terhasil daripada proses eksperimen yang rumit dan berjaya membunuh ulat bulu berintik hitam yang telah menyerang penduduk Kampung Maju Jaya.
Pada akhir cerita, Zahar telah berjaya menerima anugerah Biasiswa Kerusi Canselor daripada tokoh Universiti Oxford, London. Majlis tersebut menjadi detik yang paling menggembirakannya kerana anugerah tersebut disampaikan oleh bapanya sendiri, iaitu Professor Dr. Baharuddin yang kini menjadi tenaga pengajar universiti tersebut. Kegembiraan Zahar semakin bertambah apabila bapa yang sangat dirinduinya telah melamar ibunya semula. Zahar berasa sangat bersyukur kerana musibah ulat bulu yang datang menyerang dan racun serangga MONPUSnya bukan sahaja berjaya menyelamatkan nyawa bahkan berjaya menyambung perhubungan ibu bapanya yang sekian lama terputus.
TEMA
Novel ini bertemakan Kegigihan seorang mahasiswa dalam membuat penyelidikan untuk menyelamatkan nyawa manusia yang diancam oleh serangan ulat bulu.
PERSOALAN
a) Kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seperti Zahar membuat penyelidikan secara saintifik untuk menghasilkan formula bagi menghapuskan ulat bulu yang menyerang kampungnya.
b) Hubungan kasih sayang dalam sesebuah keluarga contohnya Zahar amat menyayangi ibunya dan akhirnya dia berjaya menyatukan ibu dan bapanya yang telah terpisah sejak sekian lama.
TEMA
Novel ini bertemakan Kegigihan seorang mahasiswa dalam membuat penyelidikan untuk menyelamatkan nyawa manusia yang diancam oleh serangan ulat bulu.
PERSOALAN
a) Kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seperti Zahar membuat penyelidikan secara saintifik untuk menghasilkan formula bagi menghapuskan ulat bulu yang menyerang kampungnya.
b) Hubungan kasih sayang dalam sesebuah keluarga contohnya Zahar amat menyayangi ibunya dan akhirnya dia berjaya menyatukan ibu dan bapanya yang telah terpisah sejak sekian lama.
c) Hubungan kasih sayang antara golongan muda sebagai contoh, Zahar dan Mawar menyayangi antara satu sama lain serta mereka mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang Sains Hayat.
WATAK dan PERWATAKAN
Zahar:- a) Dia seorang yang bijak kerana penyelidikannya sering mendapat pengiktirafan. Zahar mendapat anugerah Biasiswa Canselor di Universiti Oxford.
b) Dia seorang yang sangat matang sewaktu berhujah menyebabkan dia dan ibunya terlepas daripada fitnah Ripin.
c) Dia mempunyai minat yang mendalam terhadap serangga sejak kecil serta mempunyai sebuah makmal di sebelah rumah yang dijadikan sebagai taman serangganya.